Rumusan Topik 5 dan 6

RUMUSAN TOPIK 5 DAN 6

Rumusan Topik 5 - PENGURUSAN BILIK DARJAH

Dalam pengurusan bilik darjah, guru perlulah mempunyai ilmu untuk mengawal faktor fizikal supaya dapat mewujudkan suasana yang harmoni, ceria, dan semangat kepada murid dan juga guru itu sendiri. Guru juga mestilah mengawal faktor sosial iaitu perhubungan dan corak interaksi di antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Guru-guru hendaklah mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi emosi murid-murid. Hal ini demikian kerana faktor emosi ini akan menimbulkan pelbagai jenis tingkah laku murid di dalam kelas. Guru-guru mestilah mempunyai ilmu mengawal faktor teknikal. Pengawalan faktor teknikal ini penting bagi merangsang semangat dan kesediaan pelajar.

Bagi mengurus bilik darjah, guru-guru perlu melengkapakan segala persediaan yang diperlukan sebelum memasuki bilik darjah. Guru juga perlu memiliki kemahiran untuk menghargai murid seperti mengetahui nama dan latar belakang pelajarnya. Guru juga perlu membuat perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah.

Kemahiran set induksi merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh seorang guru dalam menarik minat serta merangsang pelajar supaya menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran. Kemahiran penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) merupakan satu kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh seorang guru. BBM yang digunakan ini mestilah mampu memberikan rangsangan dan minat kepada pelajar di samping mencetuskan idea pelajar berkenaan topik yang diajar oleh guru.

Strategi mengurus bilik darjah ialah ruang santai bagi membolehkan murid melepaskan tekanan dengan melakukan aktiviti santai. Murid duduk dalam kumpulan 4-6 orang bagi tujuan pembelajaran kooperatif dan koloboratif yang memerlukan kerjasama setiap ahli kumpulan. Seterusnya, sudut hasil kerja murid yang mempamerkan hasil karya murid daripada sesi PdP. Susunan meja dalam bilik darjah memainkan peranan yang penting dalam membantu kelancaran PdP. 


Rumusan Topik 6 - PENGURUSAN SUMBER

Pengurusan Sumber amatlah penting untuk sesuatu organisasi. Sumber itu bukanlah hanya terhad pada Pusat Sumber Sekolah (PSS) namun konsep sekolah sebagai pusat sumber perlu ditekankan. Guru mahupun pelajar mempunyai autoriti untuk mengakses segala maklumat yang terdapat di PSS.

Setiap sudut di sekolah perlulah diletakkan dengan segala bentuk maklumat dan informasi bagi pelajar dapat ilmu pengetahuan bukan sahaja di dalam bilik darjah, malah di luar bilik darjah. Pusat Sumber Sekolah perlulah menyediakan bahan yang berkualiti dan sahih agar maklumat tersebut dapat digunakan sebagai rujukan yang baik. Guru yang mengajar dengan menggunakan maklumat tersebut juga dapat memberi informasi yang baik kepada pelajar.

PSS perlulah meningkatkan lagi sumber ilmu di dalamnya dengan meletakkan bukan hanya sumber bahan bercetak seperti buku dan majalah ilmiah, malah akses internet, alat bantuan mengajar kepada guru dan sebagainya. Guru mahupun pelajar haruslah bertanggungjawab dalam menjaga keberadaan sumber yang disediakan agar dapat digunakan oleh semua orang. Kemudahan yang disediakan ini dapat melancarkan sesuatu proses PdP di dalam bilik darjah.

Guru juga perlu menekankan kebaikan yang dapat diperoleh apabila mencari sumber di PSS. Pencarian sumber bukanlah satu-satunya sebab untuk pelajar pergi ke PSS tetapi juga boleh merehatkan diri atau membaca bahan bacaan yang disediakan di tempat tersebut.

Comments

Popular posts from this blog